Imigresen Sabah Tahan 114 PATI

Pegawai JIM menjalankan pemeriksaan di rumah kongsi sekitar Keningau. Foto Juwan Riduan

KENINGAU: Seramai 114 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di beberapa rumah kongsi di kawasan perindustrian di Keningau, hari ini.

Operasi bersepadu yang bermula 3.30 pagi hingga 6 petang itu turut memberi tumpuan di kawasan pekan Keningau, Sook dan pekan Nabawan.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, operasi bersepadu itu dilakukan berdasarkan aduan awam yang diterima oleh Bahagian Penguat Kuasa JIM Sabah.

“Operasi membabitkan seramai 64 pegawai Jabatan Imigresen ini menumpukan di rumah kongsi pekerja syarikat perindustrian di daerah ini.

“Ini termasuk kilang, pekan Keningau, Sook serta Nabawan. Kami memeriksa 371 individu dan menahan 114 individu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Sade berkata, pecahan daripada jumlah tangkapan iaitu 55 lelaki dewasa, 15 kanak-kanak lelaki manakala 34 adalah wanita dewasa dan 10 kanak-kanak perempuan.

“Semua yang ditahan melakukan kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa pasport atau pas yang sah.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas dan Peraturan 38(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas.

“Selain itu, sebanyak 14 keping borang 29 dikeluarkan kepada wakil majikan. Sepanjang operasi itu tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Operasi bersepadu turut dibantu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sementara itu, beliau berkata, matlamat utama operasi bersepadu itu ialah untuk membanteras PATI dan mana-mana orang yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Operasi turut menjurus kepada majikan yang disyaki mengambil pekerja PATI, melindungi PATI dan sindiket yang membawa masuk PATI ke negara ini.

“Tindakan akan diambil selaras dengan undang-undang tanpa kompromi,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *