Sabah Sekat Kemasukan Pelancong Dari Iran & Itali

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperluaskan sekatan perjalanan ke atas kemasukan semua pelancong dari Iran dan Itali berkuatkuasa hari ini berikutan penularan wabak coronavirus (Covid-19) di kedua-dua negara berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong berkata, semua warga asing tanpa mengira kewarganegaraan yang mempunyai sejarah perjalanan terkini ke Iran dan Itali dalam tempoh 14 hari lalu tidak dibenarkan masuk ke Sabah.

Rakyat Malaysia yang tidak bermastautin di Sabah dan mempunyai sejarah perjalanan ke Iran dan Itali dalam tempoh 14 hari lalu juga tidak akan dibenarkan masuk ke Sabah.

Bagi rakyat Sabah sama ada penduduk tetap atau tinggal di Sabah dengan memegang pas kerja, pas pelajar, pas lawatan sosial jangka panjang atau sebarang perintah pengecualian, yang baru pulang dari Iran dan Itali dikehendaki menjalani kurantin di rumah selama 14 hari.

”Semua warganegara Iran dan Itali yang masih berada di Sabah dinasihatkan supaya pulang ke negara asal mereka sebelum tempoh visa mereka tamat.

“Jika visa tamat tempoh, mereka dibenarkan melanjutkan tempoh visa selama tujuh hari secara maksimum,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Sehingga semalam, Iran mencatatkan sebanyak 237 kematian akibat Covid-19 dengan 7,161 kes positif direkodkan. Manakala, Itali merekodkan 463 kematian dengan 9,172 kes direkodkan.

Wabak Covid-19 telah merebak ke 104 negara. Di Malaysia sehingga semalam telah merekodkan 117 kes positif Covid-19.

Sekatan perjalanan ke atas warga Iran dan Itali itu adalah sekatan perjalanan ketiga dikeluarkan oleh kerajaan Sabah selepas sekatan kepada warga China (30 Januari) dan Korea (29 Februari).

Sumber: BorneoToday

2010