Lapan Lagi Suspek Salah Guna Dadah Ditangkap

Polis Tuaran meningkatkan usaha mengesan suspek-suspek yang terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah.

TUARAN: Polis menangkap lapan suspek warga tempatan yang disyaki memiliki dan mengambil syabu susulan operasi membanteras aktiviti salah guna dadah melalui Op Tapis di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim berkata, tangkapan itu dijalankan di lokasi tumpuan Taman Perumahan Telipok Ria dan Taman Sri Rugading dari 2 hingga 8 Mac lepas.

“Lima suspek dipercayai memiliki dadah dan tiga lagi diuji positif dalam ujian awal saringan air kencing melibatkan mereka yang berumur 20 hingga 49 tahun,” katanya, di sini.

Hamizi berkata kejayaan penangkapan semua suspek termasuk rampasan 0.98 gram syabu itu susulan inisiatif polis meningkatkan operasi berkenaan sehingga 14 kali seminggu.

Mengulas lanjut, penangkapan terhadap semua suspek dan rampasan dadah itu dijalankan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama.

“Usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah ditingkatkan kerana menjadi keutamaan polis demi kesejahteraan dan ketenteraman awam,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *