Warga Asing Miliki Syabu Ditahan

Suspek bersama syabu yang ditahan.

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing ditahan setelah disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Kampung Epil, di sini, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, suspek berumur 30-an itu ditahan dalam Ops Sarang yang dilaksanakan sepasukan enam anggota

Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Lahad Datu di satu kawasan penagihan dadah di kampung tersebut jam 2.30 petang.

“Suspek ditahan selepas cuba melarikan diri ketika hendak diperiksa oleh anggota bertugas.

“Ketika kejadian, suspek yang bertindak agresif berjaya ditangkap dan didapati dalam milikannya sejumlah dadah seberat 5.28 gram dianggar bernilai RM792,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Nasri berkata, dadah jenis syabu yang dibungkus dalam empat peket lut sinar ditemui di bahagian poket sebelah kanan seluar jeans yang dipakai suspek.

Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pemeriksaan ujian air kencing suspek didapati positif Methamphetamine.

1977