Shafie Yakin Perbincangan Tuntutan MA63 Diteruskan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal yakin usaha menuntut hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diteruskan seperti yang dipersetujui Kabinet Persekutuan sebelum ini.

Beliau berkata, perkara itu sudah dipersetujui oleh Kabinet yang turut dihadiri Perdana Menteri sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Perdana Menteri sekarang turut menghadiri mesyuarat itu dan kerajaan dahulu dan jemaah menteri telah bersetuju.

“Malah, persetujuan Kabinet itu sudah diumumkan dan saya yakin kita boleh meneruskan isu tuntutan itu demi kepentingan rakyat di negara ini,” katanya ketika ditanya adakah keadaan politik semasa akan membantutkan tuntutan Sabah melalui MA63.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Kesihatan Awam peringkat negeri Sabah 2020, di Kompleks Sukan Likas, di sini hari ini.

Mengenai kehadirannya di program itu, Mohd. Shafie berkata, kesihatan rakyat merupakan keutamaan kerajaan.

“Ini demi keselamatan rakyat. Kita tidak boleh banyak berpolitik. Jika rakyat kita sakit macam mana? Tidak akan ada pengundi sekiranya semua rakyat sakit.

“Keutamaan saya adalah kerajaan perlu memberi fokus dan mengekalkan keadaan yang ada sekarang.

Menurutnya, Sabah cukup stabil ketika ini dan beliau tidak mahu kestabilan di negeri ini terjejas hanya disebabkan terlalu berpolitik. – BorneoToday

936