Lelaki Tempatan Ditahan Bersama Rokok Seludup Bernilai RM18,000

10 kotak rokok pelbagai jenis yang dirampas pihak polis semasa serbuan di sebuah rumah di Kg Bambangan.

PAPAR: Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas menyimpan sejumlah rokok tidak diluluskan pihak kastam dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bambangan di sini.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, suspek warga tempatan berumur 28 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh orang awam.

10 kotak rokok pelbagai jenis yang dirampas pihak polis semasa serbuan di sebuah rumah di Kg Bambangan.

“Semasa diperiksa polis berjaya menemukan 10 kotak berasingan yang menyimpan kira-kira sembilan jenis rokok pelbagai jenama di dalam sebuah bilik yang dipercayai disimpan tanpa mendapat kelulusan pihak kastam.

“Kesemua barangan rampasan yang dianggarkan bernilai RM18,000 itu dibawa ke IPD Papar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967.