ESSCOM Tahan 41 PATI Di Perkampungan Atas Air Di Kunak

Antara penghuni di sebuah kediaman yang diperiksa.

KUNAK: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) yang menyelaraskan Operasi Gasak Laut menahan 41 pendatang asing tanpa izin (PTI) di tiga perkampungan atas air, di sini.

PTI yang terdiri 21 lelaki dan 20 wanita yang berumur antara 6 hingga 65 tahun itu ditahan di Kampung (Kg) Pangkalan (Sumil), Kg Kunak Jaya Laut dan Kg Kulluk dalam operasi yang diadakan bermula  jam 3 pagi.

Komander ESSCom Datuk Hazani Ghazali berkata, kesemua yang ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen dan yang meragukan.

Penghuni kampung dikumpul sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.

Katanya, kesemuanya telah dibawa ke Pusat Tahanan Sementara Tawau untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke negara asal masing-masing.

“Operasi ini disertai 176 anggota keselamatan dan agensi awam dan telah memeriksa sebanyak 255 orang seterusnya menahan 41 orang untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan.

Hazani berkata, operasi itu dijalankan untuk mengekang kemasukan dan kewujudan PTI yang disyaki menjadi tali barut kepada kumpulan jenayah penculikan untuk wang tebusan (KFR) yang menjadikan kawasan-kawasan perkampungan setinggan atas air untuk mengintai mangsa selain menjadi tempat persembunyian mereka.

Antara penghuni di sebuah kediaman yang diperiksa.

Selain itu, menurut Hazani, operasi ini juga bertujuan menunjukkan kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi bagi mewujudkan elemen cegah rintang di kawasan itu.

Dalam operasi itu juga, Sabah Electricity Sdn Bhd turut melaksanakan operasi pemotongan bekalan elektrik di rumah-rumah setinggan yang didapati membuat penyambungan secara haram.

Hazani berkata ESSCom akan memperhebatkan lagi operasi-operasi gasak pada masa akan datang untuk memburu saki baki tali barut KFR di samping meneutralkan kawasan ‘hotspot’ daripada sebarang unsur jenayah.

Tambahnya, keberkesanan operasi-operasi seumpama itu amat penting diteruskan untuk membendung kawasan tumpuan yang disyaki menjadi tempat kegiatan dan persembunyian penjenayah.

“Beberapa ancaman yang telah dikenalpasti dan sering berlaku di kawasan tumpuan di pantai timur Sabah perlu ditangani secara berkesan bagi memastikan kawasan ini bebas daripada kegiatan jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan hidup di kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hazani merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi keselamatan dan awam yang telah membantu menjayakan operasi ini.

Antara terlibat dalam operasi ini terdiri Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Tugas Bersama 2, 8 Rejimen Askar Melayu Diraja, Batalion 13 Briged , Pasukan Gerakan Am Batalion 17, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd dan Majlis Daerah Kunak.

Antara penghuni di sebuah kediaman yang diperiksa.
Antara penghuni di sebuah kediaman yang diperiksa.