‘Tolak WARISAN Jika Sertai Perikatan Nasional’

Bendera Parti Warisan Sabah

Pemuda UMNO Sabah meminta pemimpin Perikatan Nasional menolak Parti Warisan Sabah (WARISAN) sekiranya parti itu memilih untuk menyertai Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata, WARISAN boleh mengambil pendekatan menyokong Perikatan Nasional yang menerajui Kerajaan Persekutuan ketika ini, namun bukan sebagai parti komponen perikatan itu.

“Ini kerana ketika ini WARISAN bersama-sama UPKO (Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu) dan PH (Pakatan Harapan) masih berhajat menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri apabila Dewan Rakyat bersidang kelak.

“Sebaiknya WARISAN-PH-UPKO perlu membatalkan niat itu kerana ia kerja yang sia-sia. Kemelut politik negara perlu dihentikan dengan serta merta,” katanya dalam kenyataannya di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, WARISAN perlu kekal menjadi pembangkang sebagai ‘semak dan imbang’ yang berkesan terhadap Kerajaan Persekutuan baharu.

“Gabungan WARISAN-PH-UPKO boleh menjadi pembangkang yang baik sebagai penyemak dan pengimbang kepada pentadbiran Kerajaan Persekutuan sekarang.

“Pembangkang juga ada peranan besar kepada rakyat tambahan pula gabungan (WARISAN-PH-UPKO) itu masih kerajaan negeri,” katanya.

Dalam kenyataan itu, beliau turut berkata, parti komponen di Sabah, iaitu UMNO, MCA, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang menjadi sebahagian Perikatan Nasional mempunyai pendekatan politik amat berbeza dengan WARISAN.

“Polisi kerajaan WARISAN amat bertentangan dengan doktrin bermasyarakat di Sabah apabila berlakunya ‘Sempornasisasi’, rancangan pemberian Pas Sementara Sabah dan laungan ‘Sabah Kita Punya’ cukup membimbangkan masyarakat Sabah.

“Negeri ini juga ditadbir seperti koboi, misalnya pelanggaran undang-undang negeri seperti pelantikan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, penganugerahan projek pembangunan yang bernilai bilion ringgit secara ‘direct award’ tanpa sebarang ketelusan dalam proses tender terbuka,” katanya.

Beliau turut berkata, sekiranya WARISAN turut menyertai Perikatan Nasional ia bakal mencetuskan konflik.

“Penyertaan WARISAN ke dalam Perikatan Nasional juga akan mencetuskan konflik kepentingan di antara parti kerajaan, terutama berkaitan dengan isu keabsahan Ketua Menteri Sabah yang bakal diputuskan di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, WARISAN menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan adanya perubahan kerajaan negeri di Sabah akibat daripada impak perubahan politik di peringkat Persekutuan.

Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto Padua dalam satu kenyataan menyatakan, Ahli Dewan Undangan Negeri dan juga Ahli Parlimen WARISAN sentiasa berpegang kepada prinsip serta berintegriti tinggi dan setia pada perjuangan parti.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *