Apa Langkah Sabah Seterusnya? Kekal Pembangkang Atau…

PELANTIKAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri melegakan kemelut politik negara.

Dalam semua pihak menarik nafas lega, fokus perlu terarah kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Sabah yang ditadbir Parti Warisan dengan rakan komponen UPKO, DAP dan PKR kini adalah pembangkang.

Ya, ini benar.

Kerajaan Sabah adalah pembangkang. Ini memandangkan pendirian mereka tidak menyatakan sokongan Perikatan Nasional.

Status pembangkang itu hanya pernah dipegang Sabah pada tahun 1994 ketika di bawah pentadbiran Parti Bersatu Sabah (PBS) – yang dikemudi oleh Ketua Menteri Sabah (ketika itu), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Bagi pemerhati politik Sabah, Saat Awang Damit, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilihat begitu teliti dalam membuat keputusan sama ada mahu kekal bersama DAP-PKR sebagai pembangkang; atau menyokong Presiden Bersatu itu sebagai Perdana Menteri.

“Saya melihat Datuk Seri Mohd Shafie sedang meneliti. Jika beliau beri sokongan kepada Muhyiddin, Kabinet Sabah perlu dirombak… Beliau perlu menggugurkan ADUN DAP dan PKR daripada kabinentnya.

“Sebaliknya Mohd Shafie memasukkan ADUN dari Bersatu (sembilan) dan Star (tiga) dalam kabinet negeri Sabah memandangkan Bersatu dan Star memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Percaturan Mohd Shafie juga sudah pasti akan mengambil kira tindakan kemungkinan ada ADUN daripada Warisan yang bersedia untuk lompat parti.

Menurut Saat yang juga Pensyarah Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), percaturan itu diambil kira Mohd Shafie selepas melihat tindakan ADUN lompat parti ketika beliau ‘berperang’ mendapatkan sokongan ADUN untuk menubuhkan kerajaan negeri pada PRU14.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Sabah, Mohd Raheezal Shah berkata, selepas pelantikan Muhyiddin, semua pihak kini tertumpu kepada lanskap politik Negeri Di Bawah Bayu itu.

Apa penghujungnya kelak?

Tambah Saat, Muhyiddin dan Mohd Shafie mempunyai hubungan rapat ketika dalam UMNO dan kedua-dua mereka antara yang disingkirkan daripada parti itu kerana mempersoalkan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya percaya mereka adalah kawan dan boleh selesaikan perkara ini. Tetapi mungkin juga Muhyiddin menerima tekanan daripada BERSATU Sabah supaya tidak bekerjasama dengan Warisan atau sebaliknya,” katanya yang menambah hubungan Warisan dan BERSATU Sabah tidaklah seakrab komponen lain.

Sehingga saat ini, Mohd Shafie tidak ada mengeluarkan sebarang kenyataan.

Malah tinjauan di Pejabat Pembangunan Negeri Sabah juga berjalan seperti biasa. Apapun, tumpuan kini terarah kepada pendirian Sabah sama ada mahu bersama Kerajaan Pusat atau kekal sebagai pembangkang.

Sumber: Awani Online