
KOTA KINABALU :Dua maut manakala seorang lagi cedera parah setelah kereta dinaiki mereka terbabas di bahu jalan dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Kepayan, pagi ini.
Dalam kejadian 5.28 pagi itu, mangsa Miarah Lawi, 62, dan Suhaidi Wahid, 35, disahkan meninggal di lokasi kejadian manakala seorang lagi lelaki yang belum dikenal pasti identitinya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.28 pagi sebelum sebuah jentera bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Proton Iswara Aeroback telah terbabas sendiri di bahu jalan.
“Seorang mangsa lelaki didapati cedera parah dan telah diberi rawatan awal seterusnya dihantar ke hospital QEH,”kata kenyataan itu.
Katanya, dua orang mangsa yang disahkan meninggal dunia itu diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjut dan operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 7.02 pagi.