TAWAU: Seorang mangsa nahas helikopter Agusta Westland AW139 dilaporkan dirawat di Zon Merah, Bilik Kecemasan Hospital Besar Tawau, di sini, semalam.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa Sarjan Wedrich Sindih, 34, dilaporkan mengalami cedera parah akibat nahas berkenaan yang berlaku di Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau.
“Seorang mangsa Sarjan Mohamad Radzie Radaie, 40, dirawat di zon kuning, manakala empat yang lain iaitu Asisten Superintenden Shaike Faiqzal Johari, 34, Deputi Superintenden Norhashim Ahmad, 44, Kopral Andyrian Shah Mohd Saufi, 33, dan jurutera Harry Joinin, 36, dilaporkan cedera ringan dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.
“Terdahulu, JBPM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 8.02 malam, sebelum sepasukan pegawai dan 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya helikopter tersebut terhempas semasa melakukan pendaratan di padang kem PGA berkenaan.
“Seramai enam mangsa termasuk seorang orang awam terbabit dalam nahas tersebut.
“Lima daripadanya bertindak keluar sendiri manakala seorang mangsa gagal keluar selepas tersepit,” katanya.
JBPM berjaya mengeluarkan mangsa pada jam 8.43 malam dan menyerahkan kepada ambulans untuk tindakan lanjut.
“Terdahulu JBPM bertindak membuat serbuan buih di kawasan yang dikhuatiri ada tumpahan minyak pesawat.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.58 malam,” katanya.
Sumber: BorneoToday