5 Projek Bekalan Air Bersih Di Sabah Bernilai RM1.4 Bilion Tahun Ini

TAWAU: Sebanyak lima projek membabitkan bekalan air bersih dianggarkan bernilai RM1.4 bilion bakal dilaksanakan tahun ini di seluruh Sabah.

Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Datuk Amarjit Singh berkata, ia membabitkan Loji Rawatan Air Telibong Fasa Dua di Tuaran, Loji Rawatan Air Kundasang, Loji Rawatan Air Kota Marudu, Loji Rawatan Air Lahad Datu dan Empangan Air Tawau.

“Semua projek itu dilaksanakan berdasarkan peruntukan kewangan daripada kerajaan pusat untuk Sabah.

“Justeru, tidak wujud masalah pembiayaan ke semua projek berkenaan seperti yang didakwa segelintir pihak sebelum ini,” katanya kepada media, di Lapangan Terbang Tawau, di sini, semalam.

Tambahnya, kerajaan komited dalam menyiapkan projek tersebut termasuk empangan air di Tawau yang dimulakan sejak empat bulan lalu dan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

“Berhubung projek empangan di Tawau, sebenarnya projek itu sedang dilaksanakan, namun berdepan dengan masalah pemilikan tanah persendirian memandang ia membabitkan kawasan yang luas.

“Jika semua berjalan lancar, empangan ini dilihat mampu mengatasi masalah bekalan air yang kerap berlaku di sini,” katanya.

Menurut Amarjit, pihaknya sedar akan keperluan dan masalah yang dihadapi penduduk di Tawau berhubung isu bekalan air.

“Sama ada banyak taburan hujan atau musim kemarau, pasti akan berlaku masalah bekalan air.

“Misalnya, jika hujan berlaku tetapi tidak turut di kawasan tadahan, maka paras air sungai tidak akan naik menyebabkan masalah kekurangan air seperti musim kemarau tetap berlaku,” katanya.

Sebaliknya, jika taburan hujan terlalu banyak di kawasan tadahan, ia akan menyebabkan air sungai menjadi keruh.

“Dalam hal ini, bekalan air di loji atau kawasan pemprosesan air bersih sebenarnya turut dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ia disalurkan kepada pengguna.

“Jika air sungai keruh dan melebihi bacaan 1,500 NTU, maka air juga tidak dapat diproses,” katanya.

Selain itu, penggunaan klorin yang tinggi untuk kerja pembersihan air juga tidak dibenarkan sekali gus menyumbang kepada gangguan bekalan air bersih.

Justeru, Amarjit berkata, dengan adanya simpanan air di empangan, maka bekalan air untuk diproses akan dapat dilakukan seperti biasa tanpa gangguan.

Sumber: BorneoToday

922