Shafie Kunjungi Rumah Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilihat hadir ke rumah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di sini, malam ini.

Beliau yang tiba sekitar jam 10.30 malam masuk ke kediaman Muhyiddin, namun keluar selepas tidak sampai seminit apabila mendapati bekas Menteri Dalam Negeri itu tiada di rumahnya.

Ketika ditanya wartawan tujuannya datang ke situ, Mohd Shafie hanya memaklumkan mahu bertanyakan mengenai perjalanan Parlimen, dipercayai merujuk pada sesi khas Dewan Rakyat bagi memilih Perdana Menteri baharu, Isnin depan.

Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad petang tadi memaklumkan mengenai sidang khas Parlimen itu, berikutan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapati tiada mana-mana pihak berjaya mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Ditanya sama ada WARISAN kekal menyokong Dr Mahathir susulan perkembangan terkini kemelut politik, Mohd Shafie menegaskan sokongan itu tidak berubah. “Ya, sudah tentu,” katanya ringkas sebelum meninggalkan kawasan itu.

Terdahulu, beberapa pemimpin parti dilihat hadir mengunjungi kediaman Muhyiddin sejak petang tadi, antara bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Sumber: Berita Harian

9671