Dua Jenazah Rentung Kabakaran Di Membakut Selamat Dikebumikan

MEMBAKUT: Dua daripada tujuh mangsa yang rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Lampijas awal pagi semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baitam, di sini hari ini.

Jenazah Nadia Jumadi, 25, dan Faizal Romel, 5, disemadikan pada pukul 3 petang dalam satu liang lahad.

Menurut Juriati iaitu kakak kepada Allahyarham Nadia ketika ditemui berkata jenazah Nadia dan Faizal telah dibawa keluar dari Hospital Beaufort pada 10 pagi tadi.

Katanya, kedua-dua jenazah itu dibawa balik ke kediaman keluarga Romel iaitu suami Nadia di Kampung Lumantak, di sini untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan.

Beliau berkata lima lagi jenazah masih berada di Hospital Queen Elizabeth dan dijangka boleh dituntut keluarga hari ini.

Dalam kejadian pada 1.16 pagi itu, tujuh sekeluarga melibatkan seorang ibu bersama lima anak tirinya dan seorang anak angkat rentung apabila gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap di dalam rumah mereka yang hangus terbakar.

Suami Nadia iaitu Romel Sharif, 34, dan anak sulungnya Rezwan Romel, 15, turut mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

Sumber: BorneoToday

881