Jurutera Wanita Dijemput Ajal

Mangsa yang berasal dari Beluran, Sabah, dipercayai tinggal di pangsapuri berdekatan Shah Alam, Selangor.

Seorang jurutera wanita maut sejurus dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas jalan berdekatan sebuah pangsapuri di Persiaran Sukan (dari arah Bulatan Stadium ke Jalan Subang) di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian jam 9.15 pagi tadi, mangsa, Nabila Ali, 24, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Dalam kejadian itu, mangsa yang berasal dari Beluran, Sabah, dipercayai tinggal di pangsapuri berdekatan,” katanya.

“Bagaimanapun ketika melintas jalan, sebuah kenderaan model Volkswagen dipandu lelaki berusia 50 tahun muncul dan tidak sempat mengelak dari melanggar mangsa.

“Mangsa yang bekerja sebagai jurutera itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya tadi.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, laman Facebook komuniti Shah Alam turut berkongsi maklumat kemalangan berkenaan dan difahamkan mangsa baru tiba dari Sabah untuk bekerja di sini.

Sumber: Harian Metro

3081