Tak Mustahil Tun M Jadi Perdana Menteri Kerajaan Baharu

Kenderaan yang membawa Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat meninggalkan Istana Negara

SHAH ALAM – Pembentukan kerajaan baharu menerusi gabungan Perikatan Nasional dijangka akan terus mengekalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sekiranya ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian, beliau beranggapan demikian susulan sokongan dinyatakan parti lain kepada Dr Mahathir sangat luar biasa.

Beliau berkata, akuan bersumpah (SD) yang dihantar presiden parti lain juga menunjukkan komitmen yang tinggi kepada Dr Mahathir malah parti DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) juga menyatakan sokongan sama walaupun bukan dalam gabungan baharu tersebut.

“Ini bermakna Dr Mahathir masih meraih sokongan majoriti tanpa perlu pembubaran Parlimen.Profesor Dr Sivamurugan

“Pembubaran Parlimen pula hanya wujud jika Yang di-Pertuan Agong merasakan tiada mana-mana individu yang dapat sokongan jelas atau majoriti mudah untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Dalam isu ini, jika kita lihat pada angka yang dipegang oleh gabungan kerajaan baharu, saya rasa tidak wujud walaupun rakyat di bawah mahu pembubaran kerana merasakan mandat diberi oleh mereka tetapi Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan kebijaksanaannya sebagai Raja Melayu dalam menentukan masa depan kepimpinan negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Terdahulu, spekulasi pembentukan kerajaan gabungan baharu semakin kuat selepas Mesyuarat Majlis Presiden berlangsung pada Jumaat lalu sehingga membawa kepada pengumuman peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Dr Mahathir selain mengesahkan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) keluar dari Pakatan Harapan (PH).

Susulan itu, seramai 11 ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak) dan Zuraida Kamaruddin (Ampang) mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH semalam bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Mengulas mengenai ramalan komposisi kedudukan jemaah menteri dalam kerajaan gabungan baharu itu, Sivamurugan berkata, ia akan menjadi antara perkara yang harus dipertimbangkan oleh Perdana Menteri baharu.

Beliau berkata, ia meliputi soal apakah bilangan itu akan berdasarkan komposisi parti ataupun menjadi kuasa mutlak Perdana Menteri untuk menentukan walaupun bilangan kerusi itu kecil tetapi ada kemungkinan bilangan mereka yang menganggotai Kabinet dari parti besar.

“Itu boleh berlaku dan Perdana Menteri baharu juga ada kuasa mutlak untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Kabinet baharu.

“Mungkin komposisi itu tadi bergantung kepada bilangan besarnya parti itu dalam kolaborasi ini tetapi itu tidak menjadi faktor utama.

“Sekarang ini ia terpulang kepada siapakah yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri, siapa yang akan menjadi Menteri Kanan, apakah akan ada presiden parti yang tidak dijadikan sebagai anggota Kabinet, itu semua boleh berlaku. Namun akhirnya, ia tertakluk kepada kuasa Perdana Menteri,” katanya.Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.

Dalam perkembangan lain, Sivamurugan berkata, segala yang berlaku ketika ini turut memberi impak secara total bukan sahaja kepada kerajaan Persekutuan tetapi juga kerajaan negeri serta agensi-agensi lantikan politik.

“Antara negeri-negeri terjejas seperti kerajaan Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka semua akan berdepan perubahan kepimpinan malah lantikan agensi tertentu juga akan digugurkan bergantung kepada pihak yang akan mengambil alih sama ada untuk mengekalkan atau menggugurkan mereka,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

1219