PENAMPANG: Polis Penampang memberi tempoh tiga bulan kepada 90 pemegang lesen senjata api tumpang pakai di daerah ini untuk mengurus dan mengambil semula senjata api milik mereka.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, tempoh masa itu bermula pada hari ini dan menggesa agar pemegang lesen senjata tersebut untuk mengambil tindakan sebelum tamatnya tempoh yang ditetapkan itu.
“Jika tiada juga urusan untuk mengambil semula senjata itu, saya akan menarik balik lesen dan senjata api itu akan dilupuskan.
“Ini kerana ada senjata api yang ditumpangkan itu sejak 2001 lagi dan kita sudah memberi kelonggaran tidak mengambil dan mengenakan sebarang bayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Hari Bertemu Pelanggan PDRM 2020 : Dialog Bersama Pemegang Lesen Senjata Api Daerah Penampang, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Haris berkata, pelbagai senjata api ditumpangkan antaranya senapang jenis ‘shotgun’, Rifle dan pistol.
“Pemegang lesen senjata api ini membabitkan individu, ahli perniagaan dan juga milik syarikat.
“Oleh itu, saya mohon kepada pemegang lesen senjata api ini memberi kerjasama untuk tempoh tiga bulan mengambil senjata mereka semula,” katanya.
Tambahnya, IPD Penampang mencatatkan seramai 607 pemegang lesen senjata api termasuk pemegang lesen senjata api tumpang pakai.
“Inilah matlamat kita untuk bersemuka dengan pemegang lesen supaya mereka sendiri mendengar amanat ini dan tahu apa tindakan yang mereka perlu lakukan.
“Bagaimanapun, setakat ini, tiada rekod kesalahan membabitkan pemegang senjata api di daerah ini,” katanya.
Sumber: BorneoToday