Dari Pulau Bum-Bum Ke Amerika Syarikat

Muhammad Azizan dan Siti Juliana.

TAWAU: Kesukaran hidup selain menetap di pulau bukan penghalang kepada dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Bum Bum, Semporna, untuk menggapai impian belajar di Amerika Syarikat (AS).

Siti Juliana Sahaawi, 17, dan Muhammad Azizan Totik, 16, antara lima pelajar sekolah dari Tawau dan Semporna yang terpilih menyertai Program Kepimpinan Belia Asia Tenggara (SEAYLP) iaitu program pertukaran selama tiga minggu di negara Uncle Sam berkenaan, April depan.

(Dari kiri) Ha Hen Bin, Muhammad Azizan, Vagish Krishnan, Siti Juliana, Gwyneth Valencia dan Shashi.

Siti Juliana berkata, sebagai pelajar di kawasan pedalaman, adalah sukar bagi mereka untuk belajar atau keluar dari kawasan pulau.

“Sedangkan ke Kota Kinabalu pun agak sukar, inikan pula ke luar negara seperti Amerika Syarikat.

“Justeru, saya menganggap ini peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan apabila terpilih menyertai SEALYP,” katanya.

Menurut Siti Juliana, pekerjaan ayahnya, Sahaawi Imam Saudagar, 64, sebagai nelayan, menjadi penguat kepada anak bongsu daripada lapan beradik ini untuk terus melakar kejayaan.

“Saya berharap pemilihan kali ini menjadi pembakar semangat kepada rakan sekolah yang lain untuk terus berusaha merealisasikan impian ‘dari pulau ke pentas dunia’,” katanya.

Kenyataan Siti Juliana turut dipersetujui rakannya Muhammad Azizan, yang berazam untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang menimba ilmu di Amerika Syarikat.

“Setiap pengalaman yang ada di sana, saya akan manfaatkan sepenuhnya dan praktikkan semula apabila pulang semula ke sini.

“Setakat ini, saya dan rakan-rakan banyak membuat kajian menerusi internet untuk belajar budaya dan SEALYP terdahulu sebagai persiapan sebelum berangkat ke sana,” katanya.

Selain Siti Juliana dan Muhammad Azizan, tiga pelajar lain yang terpilih adalah Gwyneth Valencia Ortiz, 17, (SM St Patrick, Tawau), Ha Hen Bin, 17, (Vission Secondary School, Tawau) dan Vagish Krishnan, 17, (SM St Patrick), manakala Shashi Davien Thomas dan SMK KInabutan terpilih sebagai mentor dewasa.

SARAH J TALALAY

Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Kebudayaan Kedutaan Amerika Syarikat Sarah J. Talalay SEALYP adalah program pertukaran selama tiga minggu membabitkan 50 pelajar sekolah menengah dan sepuluh mentor dewasa dari sepuluh buah negara Asia Tenggara.

“Program ini memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan dan belia di Nothhern Illinois University (NIU) pada April depan.

“Ia merangkumi bengkel, sesi interaktif, simulasi, latihan kepimpinan dan kerja berpasukan,” katanya.

Selain itu, Sarah berkata, peserta juga berpeluang melakukan khidmat sukarelawan dan akan melawat organisasi berkaitan komuniti keluarga angkat masing-masing.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *