Dewan Rakyat Masih Ada, Hanya Dr Mahathir Meletakkan Jawatan Maka Kabinetnya Terbatal

Tun M boleh teruskan tugas sebagai Perdana Menteri tanpa sekatan

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad masih boleh menjalankan tugasnya sebagai Perdana Menteri mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan dan tiada sekatan walaupun lantikan itu bersifat interim.

Pakar undang-undang dan Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata Dr Mahathir boleh terus menjalankan tugas sama seperti lantikannya ke jawatan berkenaan sebelum dilantik semula sebagai Perdana Menteri interim seperti diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Nik Ahmad Kamal berkata, ini kerana dalam perlembagaan tidak dinyatakan mengenai jawatan Perdana Menteri interim.

“Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan dengan Perdana Menteri interim kerana mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai lantikan Perdana Menteri bahawa seseorang itu dilantik ke jawatan berkenaan kerana mendapat kepercayaan politik di Parlimen.

“Berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan lantikan Perdana Menteri pada hemat Yang di-Pertuan Agong bahawa seseorang itu mempunyai kepercayaan politik di Parlimen. Tafsiran Perdana Menteri di bawah Perlembagaan tidak disebut atau menyentuh langsung mengenai wujudnya jawatan Perdana Menteri interim, namun apa-apa pun lantikan sudah dibuat,” katanya kepada BH mengulas pelantikan Perdana Menteri interim yang diumumkan hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan media menyatakan Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

Pelantikan Mahathir diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai Perdana Menteri interim, beliau akan menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri dan ahli Kabinet baharu dibentuk.

Kira-kira jam 1 tengah hari tadi, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia

kepada Yang di-Pertuan Agong.

Nik Ahmad Kamal berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Dr Mahathir boleh menjalankan kuasa Perdana Menteri mengikut lunas perlembagaan dan tiada sekatan walaupun lantikan itu bersifat interim.

“Saya kira beliau boleh meneruskan tugas tanpa sebarang sekatan bersifat interim. Beliau boleh teruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri sama seperti sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pakar perlembagaan dan jurisprudens watan yang juga Penasihat Undang-undang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pelantikan Perdana Menteri interim adalah mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan walaupun tiada istilah itu dalam perlembagaan.

Katanya, beliau melihat istilah Perdana Menteri interim itu adalah kuasa propegatif Yang di-Pertuan Agong selepas mendapati Dr Mahathir masih mendapat sokongan majoriti walaupun sudah meletak jawatan.

“Perlu difahami Parlimen tidak dibubarkan. Jika mengikut amalan biasa sebelum seorang boleh menjalankan tugas Perdana Menteri, apabila Dewan Rakyat dibubarkan yang dipanggil kerajaan sementara.

“Dalam kes ini, Parlimen tidak terbubar dan Yang di-Pertuan Agung dengan kuasa propegatifnya melantik Perdana Menteri interim yang mana saya kira ia sama dengan pelantikan Perdana Menteri. Bermakna Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim masih boleh menjalankan tugasnya sebagai Perdana Menteri seperti termaktub dalam Perkara 43, Perlembagaan Negara.

“Pada masa ini, apabila Dr Mahathir meletak jawatan dan peletakan jawatannya diperkenankan bermakna barisan Kabinetnya sudah terbatal. Seperti dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, pelantikan Perdana Menteri interim itu boleh menjalankan tugasnya sehingga Perdana Menteri baharu angkat sumpah dan pembentukan Kabinet baharu,” katanya.

Seorang lagi pakar perlembagaan, Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata Kabinet Dr Mahathir terbatal selepas Dr Mahathir meletak jawatan.

Katanya, Kabinet sedia ada tidak boleh berfungsi sebagai kerajaan sementara, kerana tiadanya pembubaran Parlimen.

“Dewan Rakyat masih ada, hanya Dr Mahathir meletakkan jawatan maka Kabinetnya terbatal,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *