
BEAUFORT: Perjalanan pulang seorang lelaki berakhir tragedi apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas lalu terlanggar pokok di Jalan Beaufort – Menumbok, Kampung Sinapokan, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa Jumiadi Saringen, 60, pesara kerajaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati kenderaan jenis Toyota Hilux dipandu mangsa dalam perjalanan dari Beaufort menuju pulang ke rumahnya di Kampung Kinanap, Menumbok.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan yang dipandu mangsa seorang diri dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan di sebelah kanan dan melanggar pokok.
“Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian disyaki akibat parah di bahagian dalaman kepala disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Penyu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Azmir berkata, kenderaan dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian depan.
“Siasatan masih diteruskan dan bedah siasat akan dijalankan esok.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sumber: BeritaSabah