Kapal Nelayan Asing Ditenggelamkan Sebagai Tukun

Antara bot rampasan milik nelayan asing yang menceroboh perairan negeri Sabah dilupuskan di perairan Tompok Nosong, Kuala Penyu.

KOTA KINABALU: Sebuah  kapal nelayan asing yang dirampas sejak 2018, ditenggelamkan di perairan Tompok Nosong, Kuala Penyu hari ini.

Bot itu dilupuskan untuk dijadikan tukun tiruan bagi menggalakkan biodiversiti marin.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong berkata, aktiviti pelupusan kapal nelayan asing itu bertujuan untuk memberi amaran kepada nelayan asing agar tidak menceroboh dan mencuri  sumber perikanan di negeri ini.

Datuk Junz Wong (kiri) menyaksikan aktiviti pelupusan kapal nelayan asing hari ini.

“Kita mahu hantar mesej yang jelas kepada semua kapal-kapal dari luar khususnya Vietnam bahawa kita memandang serius hal ini.

“Mana-mana kapal asing yang masuk di perairan di negeri ini, kita akan tangkap dan akan tenggelamkan kapal mereka serta tidak akan memberi peluang,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan aktiviti pelupusan kapal nelayan asing Vietnam di perairan Tompok Nosong, Kuala Penyu, hari ini.

Tambahnya, kehadiran kapal-kapal asing di negeri ini juga menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan, justeru menyumbang kepada kenaikan harga hasil laut khususnya menjelang musim perayaan.

Antara bot rampasan milik nelayan asing yang menceroboh perairan negeri Sabah dilupuskan di perairan Tompok Nosong, Kuala Penyu.

Junz berkata, sejak pelaksanaan polisi baharu iaitu aktiviti pelupusan kapal nelayan asing tersebut, harga ikan kekal seperti biasa dan stabil.

“Ini merupakan kali kedua saya menyaksikan aktiviti kapal nelayan asing ditenggelamkan.

“Kita telah laksanakan aktiviti ini buat pertama kalinya di Kudat pada tahun lalu dan kita  berjaya menangkap 10 kapal nelayan asing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lesen nelayan laut dalam tidak lagi diluluskan tanpa persetujuan negeri Sabah.

Katanya, lesen tersebut harus dikembalikan kepada Sabah agar tangkapan hasil laut dapat dinikmati sepenuhnya oleh nelayan tradisional di negeri ini.

Sumber: BorneoToday

2038