SANDAKAN: “Saya cuba selamatkan mereka tapi tak berjaya kerana api terlalu marak hingga tangan dan kaki saya melecur.”
Dalam nada terketar-ketar dan air mata bergenang menahan kesedihan, Sulaiman Amiril, 50-an, sukar menerima kenyataan kehilangan anak perempuan tunggal dan dua cucunya yang rentung dalam kebakaran di Kampung Seng Kee, pagi tadi.
Afikah Sulaiman, 20, dan dua anaknya, Nurul Katrishah Aiman, tiga tahun dan Mohd Sharil Aiman, 12 bulan, ditemui rentung dalam kebakaran kira-kira jam 6.30 pagi yang turut memusnahkan 30 unit rumah.
Turut kehilangan kediaman dan harta benda dalam kejadian itu, Sulaiman nyenyak tidur di ruang tamu rumah sebelum bahang api membuatkannya terjaga.
“Saya tengok api marak di bahagian bilik anak yang berdekatan dapur. Saya cuba merempuh masuk tapi terpaksa berundur kerana terlalu panas sebelum pengsan.
“Apabila tersedar, saya dapati rumah kami dan puluhan kediaman lagi sudah hangus,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Difahamkan, ada jiran sempat menarik Sulaiman keluar dari rumah bagi menyelamatkannya daripada kebakaran.
Beliau tidak dapat menahan kesedihan kerana gagal menyelamatkan anak dan cucunya.
“Itulah seorang anak yang ada dan saya jugalah yang menjaga kedua-dua cucu apabila anak saya keluar bekerja,” katanya.
Seorang penduduk yang mendirikan rumah di kampung itu sekitar 1990-an, Eary Husin, 49, buntu memikirkan haluan selepas kehilangan kediaman dan harta benda.
“Kami sudah tiada tempat tinggal dan pusat pemindahan sementara hanya diberi tiga hari untuk menginap.
“Keluarga saya ada lebih 14 orang yang perlukan tempat berlindung, mungkin selepas ini baru kami fikirkan bagaimana keadaan seterusnya,” katanya sugul.
Sumber: Berita Harian