Inspektor Polis Didakwa Di Mahkamah Khas Rasuah Tawau

Tertuduh Roney Saimey Sakah tiba di Mahkamah Tawau hari ini.

TAWAU: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperoleh rasuah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini.

Tertuduh, Roney Saimey Sakah, 39, didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 April 2017, pukul 11 pagi di Pejabat Cawangan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Roney sebagai ejen kerajaan Malaysia iaitu Inspektor yang bertugas di Cawangan Trafik Daerah Lahad Datu didakwa telah secara rasuah memperoleh suapan untuk dirinya iaitu wang tunai sebanyak RM3,500 dari Rostam Arsad, 34.

Rasuah tersebut adalah sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes kemalangan yang disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, menyebabkan tiada pertuduhan dilakukan di mahkamah sehingga kini.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM6,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Selain itu, tertuduh hendaklah menyerahkan passport miliknya kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi sepanjang perbincaraan sehingga selesai dan perlu melaporkan diri setiap tiga bulan sekali ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Faliq Basirudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadzil Abdul Karim.

Kes disebut semula 17 April depan.

Sumber: BorneoToday

1634