KUALA LUMPUR: Nama ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low sudah disenarai sebagai individu dikehendaki kategori red notice (notis merah) oleh agensi Polis Antarabangsa (INTERPOL), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Bagaimanapun, katanya notis merah yang menyenaraikan nama Jho Low tidak masuk dalam kategori yang boleh dikongsi dengan umum menerusi laman sesawang INTERPOL.
“Red notice ada dua kategori dalam INTERPOL, iaitu satu yang boleh dikongsi dengan public (awam) dan satu lagi hanya dihadkan kepada agensi penguat kuasa sahaja.
“Dia memang tersenarai… ada pihak yang mengatakan tiada red notice itu, saya minta mereka jumpa saya,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Beliau sebelum itu hadir pada pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Berhubung dakwaan Jho Low bersembunyi di bandar yang menjadi punca jangkitan novel coronovirus (COVID-19) iaitu Wuhan di wilayah Hubei, China, Abdul Hamid berkata, memang ada sumber risikan mengatakan ahli perniagaan itu berada di sana.
“Sebelum ini sumber risikan mendapati dia (Jho Low) memang aktif di Wuhan. Saya sudah minta pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perhatikan sekiranya dia ‘balik’ dengan (susulan penularan) COVID-19.
“Harap-harap dia salah salah seorang yang jadi mangsa COVID-19, saya nak beritahu dia kalau dia mengidap penyakit itu, baliklah ke Malaysia kerana setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia adalah yang terbaik, sembilan orang sudah berjaya disembuhkan.
“Kalau dia kena (jangkitan COVID-19), minta dia balik (ke Malaysia). Kita akan beri dia satu treatment (rawatan) yang betul, yang terbaik untuk dia,” kata Abdul Hamid sinis.
Menurutnya lagi, buat masa ini tiada sumber risikan mendapati Jho Low sudah meninggalkan Wuhan atau China.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini dilaporkan sudah menghubungi INTERPOL untuk mengeluarkan Notis Merah terhadap Jho Low yang dikehendaki berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Notis merah dikeluarkan apabila seseorang individu dikehendaki sesebuah negara untuk pendakwaan atau untuk menjalani hukuman berdasarkan waran tangkap atau keputusan mahkamah.
Pada 24 Ogos 2018, Mahkamah Sesyen Putrajaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low dan bapanya, Tan Sri (Harry) Low Hock Peng, sekali gus membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerjasama INTERPOL untuk mengeluarkan notis merah bagi mengesan serta menahan dua beranak itu pada 24 Ogos lalu.
Jho Low dan bapanya dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.
Pada 1 Oktober 2018, tersebar satu dokumen bercetak mengandungi maklumat notis merah oleh INTERPOL terhadap Jho Low di media sosial.
Jelas tertera pada dokumen bertulis ‘Fugitive Wanted For Prosecution’ dengan logo INTERPOL: Red Notice (Notis Merah) ‘tiada’ kebenaran bagi maklumat berkaitan notis terhadap Jho Low itu disebarkan kepada kepada umum.
“Circulation to the media (including internet) of the extract of the notice as published on INTERPOL’s public website: No,” tulis dokumen itu. (Penyebaran kepada media (termasuk internet) berhubung isi kandungan notis seperti yang disiarkan dalam laman sesawang umum INTERPOL: Tiada)
Menerusi dokumen yang turut dimuat naik seorang pengguna Twitter menggunakan nama Chong Beng Lim, tertera tarikh siaran notis berkenaan iaitu pada 11 Jun 2018 dan dipercayai ia terhad untuk sebaran dan kegunaan dalaman pihak berkuasa negara yang ada jalinan dengan INTERPOL.
Pihak INTERPOL melalui laman sesawangnya kemudian menjelaskan, walaupun sebahagian besar notis merah berstatus edaran terhad, ada negara membuat permintaan notis penjenayah yang dikehendaki di negara terbabit disiarkan kepada umum menerusi laman sesawang agensi antarabangsa berkenaan. – Berita Harian