Jual Penutup Hidung & Mulut RM8.50, Farmasi Di Tawau Didenda RM20,000

Angoota penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan farmasi di sekitar Tawau. FOTO Ihsan KPDNHEP

TAWAU: Tindakan sebuah farmasi di Tawau menjual penutup mulut dan hidung pada harga RM8.50 seunit membawa padah apabila dikompaun RM20,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Tawau, Aslani Dabi berkata, tindakan diambil susulan aduan orang awam berkenaan penjualan penutup mulut dan hidung yang melebihi daripada harga kawalan ditetapkan, RM6 seunit.

Berikutan itu, katanya, sepasukan anggota Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan Cawangan Tawau menjalankan pemeriksaan terhadap farmasi di Jalan Belian, Tawau, pada 11 pagi.

“Hasil siasatan, premis terbabit menjual barang harga terkawal, penutup mulut dan hidung jenis N95 pada harga RM8.50 seunit sedangkan harga maksimum yang ditetapkan ialah RM6.00 seunit.

“Ia kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan pihak kami mengeluarkan notis kompaun RM20,000 dan pengurus premis terbabit mengakui kesalahan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, premis itu diberi tempoh selama 14 hari untuk menyelesaikan kompaun berkenaan.

Sementara itu, katanya, menerusi pemeriksaan beberapa premis atau farmasi yang menjual penutup mulut dan hidung dan pencuci tangan (hand sanitizer) di sekitar pusat bandar didapati kekurangan bekalan produk terbabit berikutan permintaan tinggi akibat penularan wabak koronavirus 2019 (Covid19).

“Peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan dengan menjual penutup mulut dan hidung pada harga tinggi semata-mata mahu mengaut keuntungan mudah.

“Peniaga juga diberi amaran supaya jangan menjual barang dengan harga yang tidak munasabah (mencatut), jangan menyorok atau menahan barangan seperti penutup mulut dan hidung daripada sampai ke pasaran dengan tujuan untuk memanipulasi harga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengguna supaya membuat aduan kepada KPDNHEP sekiranya mereka mendapati ada peniaga menjual topeng muka yang melebihi harga yang ditetapkan.

Sumber: Harian Metro

20837