KPDNHEP Sita 340 Liter Minyak Diesel Di Tuaran

Sebanyak 340 liter minyak diesel bersubsidi disita.

TUARAN: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tuaran menyita sebanyak 340 liter minyak diesel bersubsidi disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan itu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Tuaran Siti Kamaliah Syamsuddin berkata, tindakan itu diambil susulan daripada aduan yang diterima melalui orang awam dan hasil risikan yang dijalankan.

Serbuan ke atas premis yang dijalankan kira-kira jam 11 pagi semalam, anggota penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Tuaran menemukan minyak diesel yang disyaki minyak diesel bersubsidi sebanyak 340 liter disimpan di sebuah premis di sebuah kampung di daerah ini.

“Maklumat awal yang diterima minyak diesel terbabit disyaki dijual kepada penduduk kampung berhampiran,” katanya.

Mengulas lanjut, siasatan awal mendapati pemilik premis terbabit juga tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis atau permit untuk menyimpan dan menjual barang kawalan tersebut daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *