Jadikan Al-Quran Panduan Hidup Untuk Kecapi Kejayaan – PM

KOTA KINABALU: Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru umat Islam supaya berpegang kepada ajaran Al-Quran dan tidak melakukan perbuatan yang bertentangan agar kejayaan dan kemajuan negara dapat dicapai.

Perdana Menteri berkata, dalam Al-Quran terkandung intipati dan pengajaran yang menjadi khazanah bernilai untuk umat Islam mengecapi kejayaan.

Beliau berkata, dalam bertekad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, terdapat keraguan tentang hala tuju negara pada masa hadapan, justeru Al-Quran adalah panduan.

“Ada yang risau apabila maju, kita hilang keinsafan dan meminggirkan nilai dan seruan Islam, namun jika dilihat kemajuan dan kemakmuran yang kita capai itu saling berkait.

“Ketika kita meraikan kepelbagaian bangsa dan agama di dalam negara, syiar Islam berkembang pesat dan turut menjadi pemangkin kepada kemajuan yang tercapai.

“Keseimbangan ini dapat kita capai dan kekalkan sekiranya kita berpegang kepada asas Islam iaitu ad deen (agama) sebagai panduan dalam kehidupan,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan, di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, seiring degan itu, kerajaan mengambil pendekatan menjadikan Gagasan Rahmah yang dilancarkan pada 25 Oktober tahun lalu sebagai dasar pentadbiran Islam di Malaysia.

Katanya, gagasan itu berteraskan kepada Maqasid Syariah dan Rahmatan Lil ’Alamin iaitu Islam bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni, bertepatan dengan suasana, adat serta budaya bangsa Malaysia sendiri.

“Kita percaya dasar ini mampu memberi impak positif kepada rakyat dan negara dalam meningkatkan kesejahteraan sosial, kemakmuran dan perpaduan hidup masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Ini selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Bagaimanapun, dalam perjuangan ke arah mencapai kejayaan, peranan keluarga, sekolah dan komuniti perlu terus diperkukuhkan.

Jepas beliau, ini bagi membolehkan nilai-nilai murni diterapkan disamping, memupuk budaya kebangsaan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Mengulas lanjut, beliau berkata, negara ini memerlukan rakyat yang matang, berilmu, bekerja keras dan mementingkan perpaduan.

Katanya, hanya melalui perpaduan sahaja membolehkan usaha membina sebuah negara maju dan berdaya saing mampu dilakukan.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *