Polis Beluran Buru Lelaki Ini Selepas Kapak Pekerja Kedai Minuman

Wajah seorang lelaki yang diburu polis Beluran. Gambar IPD Beluran

BELURAN: Seorang lelaki bernasib baik hanya menerima 20 jahitan di kepala dan dagu selepas diserang dua lelaki menggunakan kapak, parang serta batang besi di sebuah kedai minum Kampung Gambaron 1, dekat Telupid, Beluran, semalam.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, mangsa berusia 37 terbabit adalah pekerja kedai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, sebelum kejadian mangsa sedang bersiap sedia untuk menutup kedai namun didatangi dua orang lelaki yang mahu membeli minuman.

Menurutnya, selepas selesai membeli minuman kedua-dua lelaki itu beredar.

“Tidak lama kemudian kedua-dua lelaki itu datang semula ke kedai dengan bersenjatakan kapak, parang dan batang besi lalu menyerang mangsa.

“Akibatnya, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di kepala dan dagu. Dia menerima 20 jahitan.

“Susulan kejadian, polis memburu dua lelaki berkenaan. Salah seorang daripada penyerang ini dikenali oleh mangsa dengan nama panggilan Masiree,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, punca kejadian masih lagi dalam siasatan tapi ia dipercayai ada kaitan dengan masalah peribadi.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu itu boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran, Asisten Superintendan Hardymas Sawali di talian 019-2649981 atau Hotline IPD Beluran iaitu 089-511 468.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *