Pemecatan Raymond Ahuar Keputusan Kabinet, Bukan Individu

KOTA KINABALU: Pemecatan Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri, Raymond Ahuar bukan keputusan yang dibuat oleh seorang individu sebaliknya, ia diputuskan oleh Kabinet negeri Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, keputusan itu dilakukan setelah perbincangan dalam Kabinet.

“Saya hanya ada satu yang ingin dikatakan. Dia dipecat oleh Kabinet selepas perbincangan dibuat.

“Ini keputusan Kabinet dan bukan (keputusan) Ketua Menteri, bukan (keputusan) siapa-siapa, ia keputusan seluruh Kabinet jadi, ini sesuatu yang saya mau perjelaskan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pemecatan Raymond Ahuar sebagai Setiausaha Politiknya Khamis lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program ‘KeTAMU 4 Pangolin’ sempena Hari Tenggiling Sedunia, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Christina enggan mendedahkan alasan di sebalik pemecatan itu.

Katanya, memang ada sebab Raymond dipecat namun, disebabkan perbincangan itu dilakukan di Kabinet maka, beliau tidak akan mendedahkan mengenainya.

Mengenai kedudukan Raymond dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau berkata, Raymond masih datang hadiri mesyuarat parti yang diadakan tengahari tadi atas kapasiti Ketua Cabang PKR Pensiangan.

Menurutnya, isu berkaitan pemecatan Raymond tidak dibincangkan secara mendalam semasa mesyuarat parti kerana isu itu tidak ada kaitan dengan parti.

“Dia punya isu tiada kaitan dengan parti. Banyak lagi perkara yang perlu kita bincangkan seperti macam mana mahu majukan parti, mahu bekerjasama untuk berdepan pilihan raya akan datang serta bagaimana mahu bantu industri pelancongan yang berdepan masalah akibat kekurangan pelancong.

“Kita menerima keputusan Kabinet,” ujarnya.

Kelmarin, Raymond mendakwa pemecatannya dilakukan berikutan lawatan kerja yang dilakukan di daerah Nabawan.

Beliau berkata, pemecatannya itu dimaklumkan secara peribadi oleh Christina.

Biarpun agak kecewa, Raymond menyatakan beliau menerima pemecatan itu dengan hati terbuka dan berjanji akan terus berkhidmat kepada rakyat Sabah atas kapasiti lain dalam parti.

Katanya, beliau masih menunggu surat pemecatan rasmi dan berharap ada sebab dinyatakan dalam surat itu mengapa beliau dipecat.

Sumber: BorneoToday

1717