Jenazah Koperal Asman Ongkal Selamat Dikebumikan

SANDAKAN: Jenazah Koperal Asman Ongkal, 37, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baru, Batu 11, di sini, pada pukul 3.50 petang tadi.

Asman adalah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkorban dalam tragedi bot karam di perairan berhampiran jeti Pasar Umum Sandakan selepas menyelamatkan 36 penumpang yang lain.

Allahyarham sebelum itu dibawa ke Masjid Datuk Pangiran Galpam untuk solat jenazah dan penghormatan terakhir selepas tiba dari Unit Forensik Hospital Duchess of Kent, kira-kira pukul 2 petang.

Selain keluarga dan rakan-rakan, turut mengiringi jenazah adalah Pegawai Pemerintah Batalion 15 PGA Sandakan, Superintendan Toipi Lamat.

Toipi ketika ditemui berkata, Briged Sabah berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk orang awam daripada awal sehingga mangsa ditemui.

Katanya, pengorbanan anggota terbabit amat membanggakan kerana masih berupaya bertindak menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kanopi bot biarpun dalam situasi panik.

“Difahamkan daripada saksi yang melihat, anggota ini menyelam dan menarik mangsa yang terperangkap di bawah kanopi untuk dinaikkan ke atas bot awam yang lalu.

“Anggota ini sebenarnya mempunyai fizikal yang kuat dan dia adalah bekas anggota Tiger Platun Batalion 15 dan turut terbabit dalam operasi di Tanduo,” katanya.

Toipi berkata, sepanjang perkhidmatan juga, Allahyarham Asman seorang yang amat disenangi kerana ringan tulang dan memberi komitmen yang baik dalam tugas.

Katanya, anggota terbabit wajar diberi penghargaan biarpun bukan lagi dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana jasa beliau yang cukup membanggakan dan tindakannya mendapat pujian orang awam.

“Kami akan berusaha membantu keluarga beliau mengikut kemudahan dan kelayakannya,” katanya.

Sumber: BorneoToday

8505