Pembantu TKM Sabah Dipecat Selepas Lakukan Lawatan Kerja Di Nabawan

Raymond Ahuar, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew, dipecat daripada jawatannya selepas melakukan lawatan kerja di daerah Nabawan.

Dalam satu kenyataan semalam, Raymond berkata, beliau dimaklumkan secara peribadi mengenai pemecatan itu oleh Liew.

Pemecatan itu juga dikatakan dicadangkan oleh ketua menteri Sabah, Shafie Apdal dan mendapat sokongan majoriti menteri kabinet negeri.

Menerima pemecatan tersebut dengan hati terbuka, Raymond berkata beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat Sabah atas kapasiti yang lain.Iklan

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sabah kerana mempercayai saya melakukan kerja selama 1 tahun dan 6 bulan yang lalu, dengan menggalas tanggungjawab sebagai setiausaha politik kepada timbalan ketua menteri,” katanya.

Raymond merupakan Ketua Pemuda PKR Sabah, ketua Pemuda Pakatan Harapan Sabah dan Ketua cabang Pensiangan PKR.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Raymond berkata, Liew memaklumkan beliau dipecat berikutan surat lawatan kerjanya ke Nabawan, sebuah daerah di kerusi Parlimen Pensiangan pada 12 Feb.

Lawatan itu diadakan berikutan aduan daripada masyarakat Murut mengenai syarikat pembalakan yang melakukan aktiviti pembalakan di atas tanah masyarakat (communal land) mereka.

Raymond berkata beliau hairan mengapa ia menjadi sebab pemecatannya sedangkan beliau telah membuat banyak lawatan ke kawasan itu sejak dilantik pada bulan Julai 2018.

“Saya sentiasa turun padang dan lawatan seperti itu adalah biasa.

“Saya masih tunggu surat pemecatan rasmi, yang saya harap akan mengandungi sebab mengapa saya dipecat,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Liew dan Shafie untuk mendapatkan komen.

Bimbang aktiviti pembalakan

Seperti lawatan kerja yang lain, Raymond mengeluarkan laporan susulan lawatannya ke Tatalaan II, Nabawan.

Laporan itu yang dilihat Malaysiakini menyatakan bahawa syarikat pembalakan berkenaan masih belum memulakan kerja-kerja pengukuran pecah geran.

Kegagalan ini menyebabkan masyarakat Murut di kawasan itu tidak layak menerima geran plot individu atas tanah terbabit.

Beliau menggesa pihak berkuasa memastikan syarikat itu mematuhi arahan kerana ia telah melakukan aktiviti pembalakan melebihi 1,000 hektar di kawasan berkenaan dan permit syarikat itu tamat pada 7 Mac.

Raymond berkata beliau juga melihat kemusnahan alam sekitar yang teruk akibat aktiviti pembalakan termasuk pengurusan sisa minyak yang tidak teratur.

Laporan bertarikh 13 Feb itu tidak dikeluarkan oleh pejabat Liew tetapi melalui NGO Pertubuhan Kebudayaan dan Kebajikan Murut Malaysia, yang mana Ahuar merupakan presidennya.

Laporan itu dikemukakan kepada Shafie, Liew, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah serta agensi-agensi kerajaan negeri yang lain.

Malaysiakini telah menghubungi syarikat pembalakan berkenaan untuk mendapatkan ulasan, namun tidak dapat mendedahkan namanya.

Sumber: MalaysiaKini

3040