Lelaki Tempatan Ditahan Miliki 5.34 Gram Syabu

Suspek yang ditahan bersama syabu

LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah diberkas polis dalam Ops Ice Breaker di Kampung Cocos Batu 6 Jalan Segama, di sini.

Turut dirampas dalam milikan suspek sebanyak 5.34 gram syabu yang dianggar bernilai RM801.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek berumur 31 tahun ditahan di tepi jalan kampung berkenaan setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 6.50 petang.

“Ketika menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri namun berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Nasri, pemeriksaan ke atas suspek menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.34 gram yang disembunyikan di dalam bekas aluminium bertulis Mentos di dalam beg silang suspek berjenama Swiss Military.

Turut ditemui tiga plastik lutsinar, 13 gulung kertas timah, gunting dan satu penyedut minuman berwarna merah yang telah diubah suai.

Katanya, suspek yang menjalani ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Semakan lanjut mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *