Petronas Jelaskan Kenapa Sukar Beri 20% Royalti

KUALA LUMPUR: Kesukaran untuk memberi 20 peratus royalti minyak kepada negeri pengeluar adalah disebabkan boleh menjejaskan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) yang melibatkan pengagihan pendapatan pengeluaran minyak dan gas yang dilaksanakan sejak 1995.

Demikian jawapan daripada Petronas yang dijelaskan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eskekutifnya Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, seperti dilaporkan Astro Awani.

Menurut beliau, isu bayaran 20 peratus itu tidak seiring dengan prinsip dan asas ekonomi.

Petronas menjelaskan dengan lebih terperinci menerusi carta grafik yang menunjukkan peratusan perkongsian bagi setiap tong minyak yang dijual.

Pengagihan pendapatan bagi setiap tong adalah; 5 peratus akan dibayar kerajaan persekutuan, dan 5 peratus lagi dibayar kepada kerajaan negeri. 70 peratus merupakan kos pengeluaran, dan baki 20 peratus lagi akan dikongsi antara Petronas, kontraktor dan cukai pendapatan.

“Jika kami membayar 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar petroleum, ia akan melanggar prinsip ekonomi. Apabila perkara ini berlaku, tiada mana-mana pihak mahu buat pelaburan, termasuk Petronas.

“Dengan itu, saya percaya kita perlu letak tepi emosi dan politik dan fokus kepada prinsip ekonomi. Ini adalah sebab utama kami berkata 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar petroleum tidak boleh dilaksakanakan,” kata Wan Zulkiflee.

Sebelum ini, isu bayaran 20 peratus royalti minyak kepada negeri pengeluar petroleum timbul kerana ia merupakan janji manifesto Kerajaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Namun, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mengulas janji tersebut perlu dikaji semula supaya tidak menjejaskan syarikat Petronas.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *