Imigresen Serbu Pub & Kelab Malam Di Sekitar KK, 62 PATI Ditahan

Muhamad Sade (tengah) memeriksa dokumen salah seorang yang ditahan dalam operasi berpasuk imigresen

KOTA KINABALU: Sebanyak 11 premis termasuk pusat hiburan, reflexology dan restoran yang terletak di Waterfront, Anjung Samudera, Jalan Tun Fuad Stephen, di sini digempur Jabatan Imigresen (JIM) Sabah, dalam Operasi Bersepadu (selera, gegar dan sapu), malam tadi.

Operasi pada pukul 11 malam itu mensasarkan kepada individu yang menyalahgunaan pas lawatan sosial mereka dan bekerja secara haram di negeri ini.

Operasi yang turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman memeriksa seramai 213 individu dan menahan seramai 22 individu.

Pegawai dan anggota JIM memeriksa beberapa individu di sebuah pusat hiburan di Waterfront, Anjung Samudera, Kota Kinabalu

Azis berkata operasi berkenaan dilakukan berpandukan kepada maklumat dan aduan orang ramai berkenaan kehadiran pendatang asing yang memegang pas lawatan sosial bekerja di kawasan itu.

“Serbuan dijalankan di semua premis yang terletak di Waterfront dan hasilnya memeriksa seramai 213 individu dan menahan seramai 22 orang termasuk dua warga China yang memegang pas lawatan sosial tetapi bekerja sebagai tukang masak di salah sebuah restoran yang kita serbu.

“Selain itu, kita turut menahan beberapa individu yang tidak mempunyai dokumen yang bekerja di kawasan berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas operasi terbabit malam tadi.

Katanya semua mereka disiasat mengikut Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih tempoh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah.

Terdahulu, operasi itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad bersama 15 pegawai kanan dan 98 anggota.

Sementara itu juga, Azis berkata sepanjang tahun lalu imegresen Sabah telah melaksanakan 1,199 operasi penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PTI) di negeri ini dan seramai 28,555 orang diperiksa.

“Daripada jumlah itu, seramai 4,180 PTI dan 23 majikan ditangkap, serta 12,230 PATI diusir balik ke negara asal mereka.

“Ini satu pencapaian memberangsangkan dan mahu ia diteruskan untuk memburu PTI serta mengusir lebih ramai golongan itu balik ke negara asal mereka,” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *