Gerai Tepi Jalan Seluruh Sabah Akan Dinaik Taraf

Gerai Ikan Bilis Di Kimanis

KOTA KINABALU: Gerai-gerai tepi jalan di seluruh negeri Sabah akan dinaik taraf dalam usaha meningkatkan imej persekitaran pelancongan yang lebih baik di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, dalam usaha itu, beliau akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Infrastruktur bagi membolehkan gerai-gerai tepi jalan di naik taraf.

Beliau, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, langkah itu diambil bagi menyahut saranan Ketua Menteri yang mahu gerai-gerai tepi jalan dinaik taraf untuk keselesaan peniaga dan pengunjung.

“Jika dilihat di sepanjang jalan di Sabah dari Kota Kinabalu-Kimanis-Sipitang hingga ke Kudat-Sandakan memang banyak gerai-gerai tepi jalan milik peniaga tempatan yang perlu dinaik taraf.

“Penaiktarafan ini perlu supaya kita dapat meningkatkan imej persekitaran di Sabah agar lebih baik dari sekarang.

“Apabila ia dinaik taraf, bukan hanya pelancong yang datang malah, pengguna jalan raya juga dapat menikmati kemudahan lebih baik seperti di Semenanjung Malaysia yang mempunyai kawasan rehat & rawat (R&R),” katanya ketika diminta mengulas mengenai usaha meningkatkan kemudahan gerai-gerai tepi jalan di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Makan Malam Kumpulan Yayasan Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini semalam.

Katanya, usaha menaik taraf itu akan dibangunkan secepat mungkin.

Jaujan berkata, kerjasama bersama Kementerian Pembangunan Infrastruktur itu perlu kerana kawasan jalan raya berada di bawah bidang kuasa kementerian tersebut.

Katanya, hanya lesen perniagaan sahaja berada di bawah bidang kuasa kementeriannya. – BorneoToday

1827