Lebih Banyak Loji Simpanan Air Akan Dibina Di Sabah

KOTA KINABALU : Kementerian Pembangunan Infrastruktur akan membina lebih banyak loji baharu dalam usaha menambah baik sistem bekalan air di negeri ini.

Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata, pihaknya akan mengenal pasti tempat-tempat yang sesuai serta akan menilai kedudukan tempat tersebut sebelum melaksanakan penambahan loji simpanan air seperti di Loji Telibong 2.

Katanya, bekalan air di negeri ini sebenarnya masih mencukupi tetapi simpanan air agak kurang untuk mengagihkan air kepada penduduk setempat.

“Jadi sudah tiba masanya untuk kita memperbanyakkan takungan air kita bagi mengelak daripada berlaku sebarang kemungkinan.

” Apa yang kita nampak  di Loji Telibong 2 ini juga kurang daripada segi simpanan air.

“Jadi kita akan sarankan kepada Jabatan Air supaya gandakan kapasiti seperti kita nampak hari ini, air cukup tetapi storaj tidak ada,” katanya.

Menurut Peter, pihaknya juga akan menukar atau memperbaiki rekaan, peralatan dan tangki air yang sudah uzur bagi memastikan penduduk di setiap daerah mendapat bekalan air yang mencukupi.

Mengulas lanjut, Peter mendedahkan sebaik sahaja penambahan loji ini direalisasikan, pihaknya akan memperbaharui sistem yang sedia ada seperti sistem talian 24 jam serta menambah kapasiti kakitangan di jabatannya.

Selain itu, Peter juga menyeru orang ramai termasuk pemaju di kawasan perumahan untuk memberi kerjasama dengan Jabatan Air bagu memudahkan urusan masalah air di mana-mana kawasan yang terlibat.

BorneoToday

507