UMS Tangguh Pendaftaran Pelajar Antarabangsa Pascasiswazah

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menangguhkan pendaftaran pelajar antarabangsa bagi kemasukan baharu pascasiswazah yang turut melibatkan pelajar warganegara China yang dijadualkan pada 8 Feb ini sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata ia antara usaha diambil universiti itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghindari penularan jangkitan 2019 novel koronavirus di kalangan warganya.

Katanya bagi pelajar antarabangsa sedia ada dan sepatutnya kembali untuk menyambung semula pengajian Semester 2 Sesi 2019/2020 mereka pada 10 Feb ini, kemasukan mereka ke UMS juga telah ditangguhkan. 

“Namun, pihak Universiti akan berusaha menyediakan mekanisme pembelajaran alternatif bagi membolehkan mereka mengikuti kuliah dan tidak ketinggalan dalam pengajian mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Taufiq berkata bagi pelajar antarabangsa terutamanya dari China yang telah berada di Sabah, UMS telah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurus dan memantau kesihatan mereka termasuk pemeriksaan saringan kesihatan di Pusat Rawatan Warga UMS sebaik mereka tiba mendaftar di kampus UMS Induk Kota Kinabalu dan UMS Kampus Antarabangsa Labuan.

Katanya pengasingan selama 14 hari untuk tujuan pemantauan oleh pegawai perubatan Hospital UMS menggunakan Home Assessment Tool (HAT) akan dilaksanakan bagi memastikan hanya pelajar antarabangsa yang disahkan sihat sahaja dibenarkan untuk menyambung pengajian di UMS. 

Dalam pada itu, Taufiq berkata Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) menempatkan petugas kesihatan di Pusat Maklumat Pelawat EcoCampus (EVIC) berdekatan dengan pintu masuk utama UMS untuk  membuat saringan kesihatan kepada pelancong asing yang datang melawat universiti itu.

“Pada masa yang sama, UMS juga mengadakan War Room, membuat jelajah ke setiap fakulti dan jabatan UMS oleh Infectious Disease Preparedness Committee untuk tujuan memberikan kesedaran kepada warga UMS,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *