Pasar Tani Asia City Mula Transaksi Tanpa Tunai Hari Ini

KOTA KINABALU, 5 Feb: Pasar tani Asia City di sini menjadi pasar tani pertama di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melaksanakan transaksi tanpa tunai di negeri ini hari ini.

Seramai 38 daripada 60 usahawan yang berniaga di pasar itu hari ini mula menggunakan transaksi berkenaan menerusi perkhidmatan penyedia aplikasi Boost dan QR Pay (Maybank).

 Pengarah FAMA Sabah Ribin Wahid yang melancarkan sistem itu berkata pelaksanaan transaksi tanpa tunai itu di pasar tani adalah usaha FAMA menyahut saranan kerajaan untuk menggalakkan peniaga, penjaja dan peruncit di negara ini menggunakan perkhidmatan penyedia aplikasi itu dalam perniagaan mereka.

“FAMA ingin mewujudkan kesedaran dalam kalangan usahawan pasar tani untuk meningkatkan kaedah transaksi tanpa tunai supaya bergerak maju bersama arus perkembangan teknologi dan perubahan gaya hidup masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran penggunaan transaksi itu di sini.

Terdapat 24 pasar tani, empat pasar tani kekal dan tiga pasar tani My Best Buy yang dikendalikan FAMA di negeri ini dengan jumlah usahawan tani seramai 781 orang.

Sementara itu, Ribin berkata selain pasar tani, FAMA Sabah juga akan berusaha memperluaskan  transaksi tanpa tunai di outlet pemasaran hasil pertanian lain di negeri ini yang turut mempunyai 39 agrobazaar, 11 agrobazaar rakyat, 57 gerai buah-buahan segar , 12 K-Shoppe, 34 motosikal tiga roda dan sebuah medan karavan tani.

Seorang peniaga usahawan pasar tani Asia City, Helen Liajun, 63, berkata walaupun penggunaan transaksi tanpa tunai itu perkara baharu baginya, namun ia memudahkan urusan perniagaan.

Katanya pelanggannya kini tidak perlu lagi membawa wang tunai yang banyak apabila membeli sayur-sayuran dan buah-buahan di gerainya.

Peniaga air minuman, Syamsizul Masuhul, 39, berkata transaksi tanpa tunai mampu meningkatkan hasil jualan apabila pelanggannya kini menggunakan aplikasi tanpa tunai Boost untuk pembelian dalam kuantiti yang banyak.

BERNAMA

507