KOTA KINABALU: Seorang anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cedera di ibu jari tangan kiri akibat terkena gari ketika cuba menahan seorang penagih yang mempunyai waran tangkap dalam Operasi Cegah yang berakhir awal pagi, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, sepasukan anggota AADK Kota Kinabalu diketuai Zakry Mat Zudin bersama enam anggota menjalankan pemeriksaan di rumah suspek di Kampung Cenderamata 2, Likas.
Ketika suspek cuba ditahan, dia enggan memberi kerjasama malah ketika anggota cuba gari tangannya, dia agrasif menyebabkan berlaku pergelutan hingga salah seorang anggota mengalami cedera di ibu jari tangan kirinya akibat terkena gari.
Ketua operasi AADK Kota Kinabalu, Zakry Mat Zudin berkata, lelaki berusia 34 tahun antara sembilan lelaki yang ditahan dalam Ops Cegah sekitar Manggatal dan Penampang yang bermula jam 10 malam dan berakhir jam 3 pagi tadi.
“Suspek itu mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Kota Kinabalu mengikut Seksyen 6(1) Akta Penagih Dadah.
“Turut ditahan lapan penagih dadah dan dua daripadanya adalah orang kena pengawasan (OKP),” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.
Menurutnya, semua ditahan berusia 19 hingga 42 tahun dan hasil ujian saringan air kencing didapati mereka positif dadah jenis syabu.
“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“Pihak AADK Kota Kinabalu akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penagihan dadah,” katanya.