KOTA KINABALU: Seramai 2,659 orang ditahan membabitkan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM658,807 di Sabah, sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan dan rampasan itu hasil serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 140 orang ditahan atas kesalahan sebagai pembekal, 652 orang memiliki dan 1,857 orang penagih manakala sepuluh lagi bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Daripada jumlah itu, 135 orang berjaya dihadapkan kemuka pengadilan. Rampasan dadah sepanjang 2019 membabit dadah syabu (9,586.97 gram), ketamin (1,005.98 gram), ganja (2,068.63 gram), pil ecstasy (111.52 gram), serbuk ecstasy (1,911 gram) dan daun ketum (11,800 gram).
“Semua nilai dadah yang dirampas ini adalah berjumlah RM658,807. Usaha membendung dan membanteras isu dadah terus dilakukan dari masa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam di daerah ini,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Habibi berkata, IPD Kota Kinabalu mencatatkan penurunan kadar indeks jenayah sepanjang 2019 apabila 1,235 kes direkodkan berbanding 1,430 kes pada 2018.
“Penurunan kes sebanyak 195 kes itu membabitkan 13.64 peratus, sekali gus menunjukkan penurunan yang membanggakan.
“Selain itu, sebanyak 950 atau 76.92 peratus berjaya diselesaikan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Geogre Abd Rakman.
Sumber: Harian Metro