ePP Permudah Permohonan Pembangunan Di Sabah

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media selepas melancarkan Sistem Aplikasi e Planning Permission (ePP), di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Urusan permohonan pelan pembangunan kini dipermudahkan menerusi penggunaan Sistem Aplikasi e Planning Permission (ePP).

Aplikasi berkenaan adalah bagi menggantikan ‘central board’ yang sudah dimansuhkan penggunaaanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pemaju tidak perlu lagi mengisi borang secara manual malahan hanya isi semua data diminta secara online dalam portal disediakan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berucap ketika melancarkan Sistem Aplikasi e Planning Permission (ePP), di Kota Kinabalu.

“Selepas semuanya lengkap, mereka hanya menghantarnya dan tunggu kelulusan dalam masa 24 jam.

“Bagi memastikan pengesahan setiap permohonan pembangunan dapat dilaksanakan secepat mungkin, semua pemaju hendaklah memahami serta mengetahui maklumat termasuklah pengesahan bomba, perancangan bentuk bagi sesuatu bangunan, kilang atau perumahan.

“Aplikasi ini juga adalah satu langkah bagi kita mengurangkan kos melibatkan bahan binaan yang mungkin meningkat sepanjang tempoh menunggu kelulusan permohonan.

“Selain itu, ia dilihat dapat mengelakkan masalah rasuah ketika proses memohon kelulusan bagi sesebuah projek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Sistem Aplikasi e Planning Permission (ePP), dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata aplikasi terbabit sudah mula digunakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sejak Januari ini manakala pelaksanaan di peringkat Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bakal dilaksana dalam jangka masa terdekat.

Bagaimanapun, daerah kecil yang tidak mempunyai keupayaan, seperti DBKK, MPT dan MPS, daerah-daerah terbabit akan di satukan mengikut zon selewatnya Jun hadapan.

SabahNewsToday

518