Semua Penerbangan Dari China Ke KK Dihentikan Serta Merta

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU:  Semua penerbangan daripada negara China ke Sabah dihentikan buat sementara waktu bermula hari ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Alam Sekitar dan Kebudayaan Datuk Christina Liew berkata Kerajaan Negeri membuat keputusan demikian demi kebaikan rakyat Sabah.

Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat mingguan Kabinet kelmarin.

Beliau menekankan penggantungan penerbangan tersebut hanyalah sementara dan operasi akan dibuka semula sebaik sahaja keadaan kembali seperti sediakala.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew. – Foto BERNAMA

“Walaupun tindakan ini memang akan memberi impak (tidak baik) kepada industri pelancongan Sabah, Kerajaan lebih pentingkan kesihatan dan kebajikan rakyat Sabah.

“Kita mahu elakkan risiko rakyat kita terdedah kepada jangkitan novel coronavirus (2019-nCoV),” katanya hari ini.

Menurut Christina, bukanlah mudah bagi Kerajaan mencapai keputusan tersebut, malah pasti ianya tidak akan disambut baik oleh pengusaha pelancongan Sabah.

“Namun Kerajaan Negeri berpendapat ianya adalah satu keputusan yang perlu dibuat memandangkan perkembangan jangkitan novel coronavirus ini tidak menentu,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan memaklumkan keputusan Kerajaan Negeri Sabah ini kepada semua syarikat penerbangan yang membuat penerbangan China ke Kota Kinabalu.

Christina berkata Kerajaan Negara China juga telah mengarahkan rakyatnya di Wuhan, Xi’an, Beijing, Tianjin dan Guangzhou supaya jangan keluar negara.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri sedang memantau rapi keadaan semasa.

‘Walaupun belum lagi terdapat kes positif di Sabah, kita haruslah sentiasa berhati-hati dan utamakan kebersihan diri.

“Kita juga harus senantiasa peka kepada perkembangan dan berita mengenai hal ini daripada sumber yang sahih dan boleh dipercayai.

“Tolong jangan sebarkan berita palsu atau maklumat berkenaan novel coronavirus yang didapati melalui sumber tidak sahih,” katanya.-SabahNewsToday

1615