KOTA KINABALU: Seorang pemandu van mini ditahan polis, selepas didakwa mencabul seorang wanita dalam kejadian di kedai runcit Kampung Air, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa berusia 19 tahun yang bekerja sebagai juruwang di kedai berkenaan didatangi suspek di bahagian kaunter bayaran.
Suspek kemudian berbual lalu bertanya keadaan tangan mangsa yang calar sebelum memegang pergelangan tangan mangsa.
Mangsa yang tidak selesa lalu menarik tangannya namun suspek bertindak memegang payudara mangsa.
Terkejut dengan tindakan suspek, mangsa kemudian memarahinya sebelum dia beredar dari premis berkenaan.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis selepas dinasihatkan oleh tunangnya.
Difahamkan, suspek sebelum ini sering datang ke kedai mangsa bekerja dan mengeluarkan perkataan yang tidak senonoh.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Yaacob berkata bertindak atas laporan itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan seorang lelaki disyaki suspek yang mencabul mangsa.
“Suspek berusia 42 tahun dan bekerja sebagai pemandu van mini ditahan di hadapan sebuah restoran di Jalan Bandaran Berjaya, jam 11.50 pagi.“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan,” katanya.
SabahNewsToday