Tentera Darat Sentiasa Siapsiaga Pastikan Sabah Aman, Selamat

Dumi meluangkan masa melawat pameran senjata diiringi Muhammad Fauzi dan Abd Razak yang memberi penjelasan lanjut.

LAHAD DATU: Tentera darat sentiasa siapsiaga memberi komitmen untuk memastikan Sabah aman, selamat dan sejahtera.

Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, walaupun sudah wujud Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan lain-lain, kehadiran tentera darat yang bukan baharu di sini akan terus berkhidmat menjaga keselamatan, keamanan dan rakyat sejahtera.

“Kita akan terus mengekalkan kedudukan kita di sini melalui proses pembangunan tentera darat yang mana penjajaran telah pun dilaksanakan dengan inisiatif Panglima Tentera Darat dan penambahan-penambahan aset khususnya di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut Konvoi Kumpulan Tempur Tentera Darat yang dalam siri jelajah seluruh Sabah sempena Sambutan Hari Tentera Darat ke-87 di Kompleks Sukan Lahad Datu, di sini.

 Muhammad Fauzi dan Dumi ketika meletakkan cokmar di podium khas sebagai simbolik perasmian majlis.
Muhammad Fauzi dan Dumi ketika meletakkan cokmar di podium khas sebagai simbolik perasmian majlis.

Muhammad Fauzi menerima cokmar konvoi berkenaan dan bersama Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Dumi Pg Masdal menyempurnakan simbolik perasmian majlis dengan meletakkan cokmar di podium khas.

Mengulas mengenai program itu, Muhammad Fauzi berkata ianya siri jelajah lokasi ketiga di negeri Sabah yang diadakan mulai Ahad hingga Selasa di sini.

Seterusnya, mereka akan ke Sandakan pada 31 Januari, ke Kudat dan diakhiri di Kota Kinabalu.

Sebelum ini, program yang sama diadakan di Tawau dan Semporna.

Menurutnya, selain perarakan konvoi 29 kenderaan, banyak pengisian program diadakan antaranya pertunjukan pesawat udara PUTD, program derma darah, pameran kerjaya dan pameran statik aset TDM, sesi pengambilan Perajurit Muda dan Program Jiwa Murni.

Katanya, misi program itu selaras dengan tema sambutan program iaitu ‘Merakyatkan Tentera Darat’ agar rakyat dan tentera terus bersama, sentiasa bekerjasama demi menjayakan keselamatan negara.

“Kita bawa tentera darat kepada rakyat agar rakyat boleh merasai kehadiran komuniti tentera, dapat tengok dengan dekat aset-aset, berpeluang mengetahui dan menimba pengalaman baharu dari pameran dan aktiviti yang ada,” katanya.

Katanya, melalui sesi pengambilan rekrut baharu, belia yang berminat boleh mendapatkan maklumat terkini seterusnya boleh memohon untuk menyertainya kerana menjadi askar akan mendedahkan pengalaman eksplorasi baharu.

Pada perkembangan sama, Dumi berkata sambutan program itu boleh dijadikan medan sebenar untuk menimba pengalaman dan pengetahuan dunia ketenteraan.

“Dengan tragedi Tanduo yang pernah kita alami di sini, sudah pasti program ini dapat memberi manfaat berguna kepada rakyat untuk lebih mendekati seterusnya mengenali tentera darat.

“Saya menyeru agar rakyat di sekitar tampil menjayakan sambutan ini untuk menterjemahkan penghargaan kita pada jasa dan bakti tentera darat,” katanya.

Turut hadir Panglima Briged Ke-13 Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Abd Razak Husain.

Sempena sambutan itu juga, seramai 45 tentera darat menjayakan Program Jiwa Murni di Kampung (Kg) Cocos dan Kg Silam yang melibatkan aktiviti gotong royong dan beriadah dengan bersukan bersama penduduk kampung.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *