Sabah Pertingkat Usaha Kurangkan Hutang Negeri

SANDAKAN, 27 Jan: Kerajaan Negeri Sabah akan mempertingkatkan usaha untuk mengurangkan beban hutang negeri, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa merancang pelbagai strategi bagi memastikan kerajaan negeri tidak terus dibebani dengan hutang yang akan memberi kesan kepada perancangan pembangunan rakyat dan negeri.

“Tahun lepas, kerajaan negeri telah membayar balik hutang berjumlah RM1 bilion yang merupakan hutang yang mesti dibayar dalam tempoh ditetapkan. Kalau tidak, penarafan kredit kita (kerajaan negeri) akan turun.

Ini sedikit sebanyak membolehkan kita membuat perancangan yang baik untuk membantu rakyat kerana kita tidak dibelenggu dengan hutang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Daerah Sandakan di sini hari ini.

Pada Oktober lepas, Mohd Shafie memberitahu kerajaan negeri berjaya membayar balik bon kerajaan pusat berjumlah RM1 bilion sebelum tempoh matangnya pada 9 Dis lepas.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *