KOTA KINABALU: Tiada sebarang pembatalan penerbangan terus dari China ke Sabah dilakukan sepanjang Tahun Baharu Cina ini.
Demikian kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew ketika mengulas mengenai pembatalan penerbangan berikutan penularan koronavirus di Wuhan, China.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar ini berkata, setakat ini penerbangan terus yang diterima masuk ke Sabah adalah dari bandar-bandar lain di China, bukannya dari Wuhan.
Katanya, penerbangan terus adalah dari bandar seperti Xi’an dan bandar-bandar kecil lain di China.
Namun, semua penerbangan berjadual dari Wuhan ke Kota Kinabalu telah dibatalkan sementara waktu sehingga menerima arahan berikutnya dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
Menurutnya, penularan koronavirus itu memang akan memberi impak kepada kemasukan pelancong dari Wuhan, China ke Sabah. Untuk penerbangan dari bandar-bandar lain di China tidak begitu terjejas.
Ditanya adakah sasaran kemasukan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 di Sabah akan terjejas, beliau berkata, keutamaan kepada keselamatan rakyat jauh lebih penting.
“Walaupun kita menyimpan harapan tinggi untuk meningkatkan kemasukan pelancong antarabangsa namun, jika itu mendatangkan risiko kepada rakyat kita, kita tidak akan mengambil risiko sebegitu.
”Kita tidak mahu mendatangkan risiko kepada rakyat kita di Sabah,” jelasnya.
Christina berkata, kerajaan akan terus mengambil langkah pencegahan dengan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Untuk mengekalkan kemasukan pelancong antarabangsa, beliau akan mempromosikan Sabah ke negara lain seperti di Eropah seperti disarankan oleh Ketua Menteri.
Menyentuh sasaran kemasukan pelancong pada 2019, beliau berkata, Sabah berjaya melepasi sasaran ditetapkan apabila menerima kemasukan 4.195 juta pelancong. Sasaran ditetapkan adalah 4 juta pelancong.
Bagi sasaran kemasukan pelancong tahun ini, perkara itu akan ditetapkan setelah perbincangan bersama Lembaga Pelancongan Sabah dilakukan dalam masa terdekat ini.
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, kerajaan menyasarkan kemasukan 30 juta pelancong antarabangsa ke negara ini.
BorneoToday