
KOTA KINABALU: Kehadiran pengunjung daripada seluruh pelusuk daerah negeri ke Tamu Besar Tahun Baharu Cina di Segama – Pasar Besar petanda baik yang membuktikan kesatupaduan rakyat Sabah.
“Saya dapat lihat ramai bukan sahaja pelancong tetapi dari berbagai daerah yang datang meraikan Tahun Baharu Cina ini,” kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika ditemui selepas mengunjungi Tamu Besar di Segama malam tadi.

“Ianya satu petanda yang cukup baik yang harus menjadi amalan bukan sahaja semasa perayaan Kaamatan, Hari Raya tetapi juga Tahun Baharu Cina,” katanya.
Menurutnya beliau akan kembali ke Semporna pada Sabtu untuk mengunjungi keluarga beliau dari kaum Tiong Hua dan akan bersama dalam jamuan makan.

Mohd Shafie ditemani isteri Datin Seri Shuryani Shuaib melawat gerai-gerai dan bersalaman dengan para pengunjung di Tamu Besar tahunan itu. Turut mengiringi beliau antaranya ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin.
Selepas itu, beliau menuju ke Foh Sang di mana Tamu yang serupa turut diadakan.
Tamu Besar tahunan sempena Tahun Baharu Cina itu berlangsung sehingga pukul 12 tengah malam.
SabahNewsToday