Pengedar Dadah Ditahan Bersama Syabu Bernilai RM3,285

Suspek ditahan pihak polis disyaki memiliki dadah jenis syabu. – Gambar SNT/ Ihsan IPD Tawau

TAWAU:  Seorang lelaki tempatan disyaki pengedar dadah ditahan bersama syabu bernilai RM3,285 dalam serbuan di kawasan perkampungan Kampung Pasir Putih, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata suspek yang menaiki motosikal jenis SYM ditahan oleh sepasukan polis selepas melihat suspek dalam keadaan mencurigakan pukul 6 petang.

“Suspek bertindak agresif dengan cuba melarikan diri ketika diperiksa sehingga berlaku pergelutan. Bagaimanapun suspek berjaya diberkas. 

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai sebuah beg silang milik suspek dan di dalamnya mengandungi 52 peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan hablur jerih disyaki dadah jenis syabu.

“Berat syabu terbabit dianggarkan 65.7 gram bernilai RM3,285,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Peter berkata ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia lingkungan 33 tahun itu positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah. – SabahNewsToday

1562