Kaunter JPN Tawau Sesak Sejak Minggu Lalu

Orang ramai terpaksa beratur sehingga di luar pejabat JPN untuk mendapatkan nombor giliran.

TAWAU: Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasar Tanjung sesak sejak minggu lalu dengan kehadiran penjaga pelajar yang ingin membuat pengesahan dokumen pengenalan diri.

Difahamkan, pengesahan dibuat berikutan syarat borang untuk mendapatkan bantuan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melalui dana Inspirasi (Inspirasiku) Malaysia.

Ahamadi Dan Suriati

Tinjauan Utusan Borneo mendapati orang ramai terpaksa beratur panjang di luar pejabat JPN Tawau, malah ada yang terpaksa menunggu lebih tiga jam semata-mata untuk melakukan pengesahan terbabit.

Penduduk Sg Tongkang, Suriati Mohammad, 42, yang datang seawal jam 7.30 pagi kerana terpaksa mengikut jadual bot daripada tempat tinggalnya.

“Saya terpaksa datang awal kerana mengikut jadual bot daripada Sg Tongkang walaupun mengetahui pejabat JPN hanya bukan pada jam 10 pagi.

“Sekiranya tidak dapat diselesaikan hari ini terpaksa datang semula esok sebab bot yang mahu kembali ke Sg Tongkang paling lewat jam 5 petang,” katanya.

Sementara itu, penduduk Balung, Ahmadi Samon, 44, yang terpaksa datang semula selepas percubaannya untuk berurusan kelmarin gagal berikutan terlalu ramai orang yang datang berurusan.

“Kelmarin saya tidak sempat ambil nombor kerana terlalu sesak dan hari ini saya sampai jam 8 pagi pun sudah ramai orang berbaris. Sekarang ini pun saya dapat nombor jauh dan kalau tidak dapat juga terpaksa cuba lagi esok,” katanya.

Menurut sumber, semalam sahaja belum sampai satu jam kaunter dibuka lebih 300 orang yang datang untuk mendapatkan pengesahan dokumen manakala kelmarin lebih 900 orang yang datang untuk mendapatkan pengesahan ini.

Menurutnya, perkara ini biasa berlaku di JPN setiap hujung tahun dan awal tahun, bagaimanapun tidak sampai seperti yang berlaku minggu ini sehinggakan ada yang terpaksa pulang tanpa mendapatkan perkhidmatan di JPN.

Mengulas lanjut, sebenarnya pengesahan boleh dibuat di sekolah masing-masing oleh pegawai yang memegang gred 41 ke atas, tetapi kemungkinan pihak YaPEIM yang mengenakan syarat mesti mendapatkan pengesahan daripada JPN, hal ini yang menyebabkan kesesakan berlaku.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Dr Mistirine Radin ketika dihubungi berkata, untuk urusan sekolah semua pengesahan dokumen boleh dibuat oleh pegawai profesional yang mempunyai gred 41 ke atas dan tidak perlu mendapatkan di JPN.

“Pengesahan di JPN hanya untuk murid bukan warganegara Malaysia sahaja berikutan banyak timbul isu manipulasi ataupun yang meragukan.

“Dalam hal yang berlaku di mana-mana JPN sekarang ini bukan arahan daripada pendidikan tetapi lebih kepada syarat yang diperlukan untuk memohon bantuan YaPEIM,” katanya.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *