3 Rumah Teres Musnah Terbakar Di Taman Sepanggar

Tiga rumah teres di Taman Sepanggar, Kota Kinabalu musnah terbakar.

KOTA KINABALU: “Saya baru mahu makan tapi terkejut bila dengar bunyi bising dari bilik, ingatkan kucing masuk ke dalam bilik, rupanya percikan api.

“Saya cuba memadam tapi api makin besar sebelum keluar menyelamatkan diri,” kata Hani Aqilah Jasmi, 15, mangsa kebakaran di Taman Sepanggar di sini, petang tadi.

Kejadian kebakaran pada pukul 5 petang itu memusnahkan tiga rumah jenis teres termasuk rumah keluarga Hani.

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

Menurutnya dia yang seorang diri di dalam rumah baru hendak makan selepas balik daripada sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon.

“Saya baru sahaja sampai di rumah lalu pergi bilik untuk berehat. Lepas itu saya turun untuk makan namun terdengar bunyi barang jatuh.

“Saya ingat kucing masuk bilik, lepas itu saya lihat bilik terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Hani berkata dia cuba untuk menyelamatkan barang milik keluarganya namun gagal kerana keadaan api yang cepat marak.

Bapa Hani, Jasmi Jaya, 38, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu apabila dihubungi oleh jirannya.

Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan kebakaran di Taman Sepanggar Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Saya terus bergegas pulang namun tiada apa yang dapat diselamatkan, semuanya musnah terbakar.

“Ketika kejadian, saya sedang bekerja di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hanya Hani bersama adiknya di rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu ketika ditemui di lokasi berkata pihaknya menerima panggilan pukul 5.05 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk operasi pemadaman. 

“Kebakaran memusnahkan tiga rumah, manakala sebuah rumah rosak dalam 30 peratus. Sebanyak tujuh rumah berjaya diselamatkan.

“Api kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 6.21 petang,” katanya.

Tambah beliau, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba. – SabahNewsToday

705